Tuesday, August 14, 2012

Aurat: Bukan Sekadar Bertudung

Assalamualaikum w.b.kt. Just want to share an article written by my colleague. Hope everyone can make use out of it.


Oleh : Mu’allim Bin Mohd Bakri (288521)

CITU UITMT

“Saya malulah nak memakai tudung, nanti kawan-kawan akan mentertawakan saya”, “Saya tak bertudung pun, tapi hati saya baik tak macam kawan-kawan saya yang bertudung kerana mereka suka mengata orang”, “Belum sampai seru lagi untuk saya bertudung”, “Rimas la ustaz sebab panas dan pendengaran pun terhad bila memakai tudung ni”,”Ahh tak vogue la bertudung, tak boleh nak berfesyen macam Lady Gaga, Beyonce dan Tyra Bank” dan pelbagai lagi alasan-alasan yang diberikan kerana tidak mahu bertudung. Rentetan daripada alasan-alasan ini telah memberikan satu tanggungjawab kepada penulis untuk menjelaskan konsep aurat. Penumpunan di dalam penulisan ini adalah terhadap aurat wanita.

Sesungguhnya, kewajiban menutup aurat ini jelas dinyatakan dalam nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Antara Nas al-Qur’an yang menjelaskan kewajiban menutup aurat ini adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-‘A’raf ayat 26 yang bermaksud:

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup caurat kamu, dan pakaian perhiasan…(Surah al-‘Acraf (7) : 26)

Menurut al-Qurtubi, ayat ini adalah dalil kepada hukum wajib menutup aurat kerana di dalamnya ada menyebut “untuk menutup auratmu”. Selain daripada nas al-Qur’an ini, terdapat juga Hadith Nabi saw yang menjelaskan kewajiban menutup aurat. Hadith ini bermaksud:

Daripada cAbd al-Rahman Bin ’Abi Sacid al-Khudriyyi daripada bapanya, sesungguhnya RasuluLlah saw bersabda : Orang lelaki tidak boleh memandang kepada aurat lelaki dan orang perempuan tidak boleh melihat kepada aurat orang perempuan. Dan orang lelaki tidak boleh menyentuh lelaki yang lain di dalam satu pakaian. Dan orang perempuan juga tidak boleh menyentuh perempuan yang lain di dalam satu pakaian

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa haram lelaki melihat aurat lelaki dan wanita melihat aurat wanita. Manakala hukum haram lelaki melihat aurat wanita dan haram wanita melihat aurat lelaki sabit melalui ijmac. Bagi Aurat wanita, terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan dengan terperinci berkaitan dengan Aurat wanita. Sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Nur ayat 31 yang bermaksud:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang caurat perempuan..(Surah al-Nur (24): 31)

Ayat al-Qur’an ini jelas menerangkan batas-batas aurat bagi wanita. Selain memelihara kehormatan diri, kaum wanita juga dilarang memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir sahaja seperti muka dan kedua tapak tangan. Berkaitan dengan larangan memperlihatkan perhiasan tubuh ini termasuk di dalamnya dengan memakai pakaian-pakaian yang sendat sehingga menampakkan bentuk badan. Selain itu, kaum wanita juga hendaklah menutup kepala mereka dengan tudung. Namun begitu terdapat kelonggaran sekiranya mereka bersama dengan mahram seperti yang dijelaskan di dalam ayat 31 surah al-Nur di atas.

Namun begitu, setelah menutup Aurat, para wanita juga telah diajar untuk menjaga adab dan tatatertib agar dapat mengelakkan daripada timbulnya fitnah yang mampu membawa kerosakan. Antara adab dan tatatertib yang dianjurkan oleh Islam adalah sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud:

Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). (Surah al-’Ahzab (33) : 32)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah swt memerintahkan agar isteri-isteri Nabi saw bercakap dengan menggunakan kata-kata yang petah, kasar dan sopan serta melarang bercakap dengan menggunakan kata-kata yang lembut dan lemah longlai yang mampu menaikkan nafsu apabila berhadapan dengan kaum lelaki. Namun begitu, ayat ini merupakan ayat hukum yang melingkupi keseluruhan kaum wanita yang beriman.

Begitu juga dari sudut cara berjalan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud:

Maksudnya :…Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka...(Surah a-Nur (24): 31)

Ayat al-Qur’an ini jelas menerangkan bahawa kaum wanita dilarang menhentak-hentakkan kaki ketika berjalan sehingga terdengar bunyi gelang kaki. Selain cara berjalan, pergerakkan yang ditonjolkan juga perlu dijaga ketika berurusan dengan ajnabi. Oleh yang demikian, mereka janganlah menonjolkan pergerakkan yang terlalu kasar dan terlalu lemah gemalai yang mampu menarik minat sesiapa yang melihatnya. Bahkan, penggunaan alat solek dan wangian juga dilarang sama sekali sekiranya berurusan dengan golongan yang berbeza jantina. Ini kerana, kedua-dua unsur tersebut boleh menyebabkan wujudnya daya tarikan yang mampu menimbulkan fitnah

Berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dinyatakan sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa Islam mewajibkan umatnya menutup aurat. Tuntutan menutup aurat ini lebih diutamakan apabila umat Islam berada di dalam keadaan yang memerlukan percampuran antara lelaki dan wanita ajnabi. Oleh yang demikian, wajiblah bagi lelaki dan wanita Islam menutup had aurat mereka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam. Selain menutup aurat, Islam juga amat memelihara tatatertib yang perlu dipelihara ketika melakukan urusan yang melibatkan percampuran lelaki dan wanita. Tatatertib yang dinyatakan perlulah dipelihara agar percampuran lelaki dan wanita yang wujud dapat mengelakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang sempurna, lengkap, menyeluruh dan indah. Segala peraturan yang telah ditetapkan bukanlah untuk menyekat kebebasan dan bersifat jumud. Namun begitu, segala yang telah ditetapkan mempunyai Maqasid atau objektif yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Antara objektif tersebut adalah untuk memelihara, agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Sekiranya Aurat yang telah diwajibkan tidak dilaksanakan dengan betul boleh mengakibatkan pelbagai kerosakan di dalam masyarakat. Pelbagai kerosakan yang mampu terjadi, antaranya pencabulan, rogol, zina, pengeksploitasi wanita, dan sebagainya. Jadi, sempena kempen menutup aurat yang sedang giat dijalankan oleh Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UITMT marilah kita bersama-sama bermuhasabah tentang kekurangan yang perlu diperbetulkan. Semoga hidup kita diberkati dan diredhai Allah SWT.

RUJUKAN

Qurtubi, ’Abi cAbdu’Llah Muhammad bin ’Ahmad al-’Ansari al-(2002), al-Jamic li ’Ahkam al-Qur’an (Tafsir al-Qurtubi), 10 j. Kaherah: Dar al-Hadith

Nawawi, ’Imam Mahyuddin ’Abi Zakariya Yahya bin Sharaf al-(t.t), Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, 9 j. Mansurah, Misr: Maktabah al-’Iman

Mustafa Siba’ei (Dr.) (1986), Wanita Menurut Syariat Islam Dan Peradaban Moden, Sdr. Halimuddin (terj.), Kuala Lumpur: Pustaka Antara

Yusuf al-Qaradawi (Dr.) (2001), Fatawa Mucasarah, 3 j. c. 9. Kaherah: Dar al-Qalam